Majlis Berbuka Puasa Jabatan Bersama Masyarakat (OKU)
Posted on : 10 Jun 2014
 

Ucapan daripada YBhg Hj Sapuan bin Ahmad (Pemangku Timbalan PicturePengarah I) Sempena Program Jabatan Hutan Bersama Masyarakat (OKU)  dari Pusat Jagaan; PERKATA, Cheshire Home dan Pusat Pemulihan Samarahan dan Majlis Berbuka Puasa yang diadakan pada 17 Ogos 2011 di Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan Batu 6.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera ;

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

Syukur Alhamdulilah, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran ke Hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya dan limpah kurniaNya juga, kita dapat berkumpul dan bersama-sama dalam menjayakan Program Jabatan Hutan Sarawak Bersama Masyarakat (Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Majlis Berbuka Puasa tahun 2011 ini.

Dengan kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola atas penganjuran majlis ini, kerana bagi saya sendiri, program ini amat besar maknanya kepada kita semua. Saya juga ingin memuji kerjasama serta komitmen daripada semua warga kerja serta agensi perhutanan atas sumbangan yang telah dihulurkan terhadap program ini. Sesungguhnya, kerjasama seperti ini perlu diteruskan dan ditingkatkan dari masa ke semasa agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh kumpulan sasar terutama bagi golongan OKU.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

Sebagai warga Jabatan Hutan, kita sentiasa mengalu-alukan program yang murni seperti ini diadakan kerana melaluinya kita dapat bersama-sama menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan.

Program sebegini membawa pengertian yang amat besar dan merupakan medium yang penting untuk melahirkan rasa simpati terhadap golongan OKU di negeri kita ini. Apatah lagi, jika ia dilaksanakan melalui inisiatif dan kerjasama daripada jabatan kerajaan dan agensinya.

Kita yakin, masyarakat setempat khususnya golongan OKU akan mendapat manfaat yang berganda daripada program ini tanpa mengira kedudukan dan latar belakang. Hakikatnya, mereka juga merupakan kumpulan insan yang perlu diberi peluang secara saksama kerana mereka juga mempunyai naluri untuk maju dan boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian,

Sempena menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak yang penuh dengan keberkatan ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan lagi amalan dan sedekah selain memohon keampunan  daripada Allah S.W.T.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur dan semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan program ini. Saya akhiri ucapan dengan salam Ramadhan dan kepada rakan-rakan muslim, Selamat menyambut Hari raya Aidilfitri yang bakal menyusul tidak lama lagi.

Sekian, terima kasih.

 (click to see more photos)

Sumber : Unit CPA