Majlis Berbuka Puasa Jabatan Hutan Sarawak
Posted on : 08 Aug 2012
 

Jabatan Hutan Sarawak Meraikan Warga Rumah Seri Kenangan Dan Anak-Anak Yatim Dalam Majlis Berbuka Puasa

KUCHING : 4 OGOS 2012 (15 RAMADHAN); Sempena menyambut bulan Ramadhan, umat Islam diingatkan agar terus berusaha memelihara perpaduan dan kerjasama, serta mengukuhkannya daripada semua aspek termasuk memperkasakan perhubungan antara jentera pentadbiran kerajaan dengan orang ramai. Jalinan kekukuhan ukuhuah ini boleh direalisasikan dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti keagamaan yang sentiasa menjadi program pengisian di bulan Ramadhan seperti penganjuran majlis berbuka puasa.

Selain daripada itu, umat Islam juga dinasihatkan untuk tidak menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk mereka berbulan madu. Sebagai contoh, Rasullulah SAW telah menjadikan bulan ini sebagai bulan jihad kerana kebanyakan peperangan yang dimenanginya dilakukan dalam bulan ini. Juteru itu, jadikanlah bulan ini sebagai pelengkap kepada pembentukkan jati diri bagi membina keperibadian yang tinggi dan mulia.

Sehubungan dengan itu, telah menjadi tradisi tahunan, Jabatan Hutan Sarawak akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama wargakerjanya. Pada tahun ini, kemeriahan sambutan Majlis Berbuka Puasa Jabatan Hutan Sarawak telah diserikan dengan kehadiran warga emas daripada Rumah Seri Kenangan dan anak-anak yatim di bawah jagaan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Kuching. Program tahunan yang diadakan ini bagi melahirkan rasa kesyukuran menyambut ketibaan bulan Ramadhan disamping menunaikan tanggungjawap sosial dengan menyampaikan sumbangan kepada golongan yang layak menerima dan memerlukannya.

Selain dijemput berbuka puasa bersama-sama, warga emas dan kanak-kanak berkenaan turut diberi sumbangan duit raya daripada Jabatan Hutan Sarawak. Turut menerima sumbangan berkenaan ialah balu wargakerja Jabatan Hutan Sarawak.

Yang Berhormat Datu Haji Len Talif Salleh, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak hadir merasmikan majlis tersebut serta berkenan untuk menyampaikan sumbangan kepada para penerima. Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Hutan Sarawak sambil meluahkan harapan agar banyak lagi agensi-agensi yang lain tampil ke hadapan untuk sama-sama meraikan dan menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Majlis berbuka puasa Jabatan Hutan Sarawak tahun ini turut diamarahkan lagi dengan ceramah takzirah Ramadhan, solat Isyak berjemaah dan solat Terawih. Turut hadir, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Tuan Haji Ali Yusop, dua orang timbalannya, Haji Sapuan Ahmad dan Haji Wan Shardini Wan Salleh, ketua-ketua dan wakil-wakil agensi perhutanan seperti SFC, STIDC, SPF, Harwood Timber Sdn Bhd dan STA serta pegawai-pegawai pengiring daripada Rumah Seri Kenangan dan Rumah Kanak-Kanak Kuching.