Ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1434H/2013MCeramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1434H/2013M

Pada 25 Januari 2013 (Jumaat) yang lepas, Pihak PERKIJAP dengan kerjasama Pejabat Hutan Wilayah Kuching dan Bahagian Perlindungan dan Penguatkuasaan telah mengadakan ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1434H/2013M bertempat di Pejabat Hutan Wilayah Kuching. Topik yang disampaikan ialah mengenai Sirah Rasulullah S.A.W selain bertujuan untuk memupuk semangat cintakan Nabi Muhammad SAW junjungan besar kita. Majlis ini dihadiri oleh pegawai – pegawai dan warga kerja Jabatan Hutan Sarawak dan pegawai daripada Harwood, sesi ceramah disampaikan oleh Al-Fathil Ustaz Mohd. Salleh bin Hj. Hamdin, Pengetua PERYATIM.

Antara intisari ceramah adalah Empat sifat Rasulullah SAW yang ditekankan oleh penceramah yang dirangkumkan oleh beliau yang dapat dijadikan petunjuk dan panduan dalam kehidupan manusia sebagai hamba Allah. 4 Sifat Rasulullah SAW:

1. Siddiq ertinya benar.

Rasul mempunyai sifat benar dalam perkataan dan perbuatan seseorang yang beriman kepada Allah dan kepada perkara-perkara yang ghaib.

Bersifat benar dalam percakapan dan perlakuan mesti ada dalam diri kita sebagai manusia dan begitu juga dalam melaksanakan kerja yang telah dipertanggungjawab. Apabila berurusan dengan seseorang   atau pelanggan bercakaplah benar dengan fakta yang sahih dan tidak berdusta. Semua orang akan suka dan percaya kita beroleh kecemerlangan dunia akhirat.

2. Amanah ertinya benar-benar boleh dipercayai.

Konsep amanah ditekankan dalam melaksanakan tugas di pejabat yang dimulakan dengan kehadiran ke pejabat dan keberadaan di pejabat jika diperlukan. Seorang yang amanah ialah mereka yang mampu menjalankan tugas tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Tugas dan tanggungjawab dilaksanakan secara yang terbaik walaupun tanpa ketua yang memerhatikan setiap gerak-gerinya. Menjalankan tugas dengan amanah dan memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik–baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali. Perancangan tugasan yang baik akan dapat membantu setiap pekerja untuk menentukan keutamaan dalam pelaksanaan tugas. 

3. Tabligh ertinya menyampaikan.

Menyampaikan dalam melaksanakan tugas seperti memberi tunjuk ajar dan panduan kepada rakan sekerja yang lain yang dapat membantu melancarkan proses kerja dan apa yang disampaikan dapat terus dijadikan panduan oleh orang lain yang memerlukan.

4. Fathonah ertinya bijaksana.

Mustahil bagi seseorang Rasul itu bersifat bodoh. Dalam menyampaikan ayat Al-Quran dan kemudian menjelaskannya dalam puluhan ribu hadis memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa.

Begitu juga dalam pekerjaan kita dikehendaki menggunakan kebijaksanaan yang ada pada kita bagus menjalankan tugas – tugas yang telah diamanahkan agar dapat memberi kesan yang baik bukan sahaja pada diri kita sendiri malah memberi kesan yang baik juga untuk jabatan kita.