Kursus Rahsia Pokok Karas (Gaharu), LawasKursus Rahsia Pokok Karas (Gaharu), Lawas


Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Sarawak telah menyediakan peruntukkan bagi pelaksanaan Projek Pembangunan: Pembangunan Taman Negara Pulong Tau untuk Kelestarian Kepelbagaian Biologi dan Pembangunan Komuniti yang telah bermula pada tahun 2012. Salah satu komponen projek adalah pemuliharaan kawasan hutan yang telah musnah dan terbiar (degraded), dan dengan itu, pihak projek telah memberi galakan kepada komuniti untuk menanam pokok gaharu yang telah diketahui gaharu adalah hasil hutan bukan kayu yang serbaguna dan mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi. Di samping memberi kesedaran pentingnya penanaman pokok hutan, ia juga bertujuan  untuk kestabilan alam sekitar serta  penghijauan lanskap. Di Ba’kelalan sahaja, pihak projek telah memperuntukkan sebanyak 3,400 anak pokok termasuk lebih kurang 400 anak pokok yang telah mati setelah ditanam.

Kursus Rahsia Pokok Karas (Gaharu) ini merupakan salah satu aktiviti pembinaan keupayaan (capacity building), di bawah program pembangunan komuniti untuk pegawai Jabatan dan komuniti tempatan. Ianya dapat memberi peluang dan pendedahan kepada komuniti di sekitar Lawas dan Ba’ kelalan mengenali Gaharu yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi sebagai sumber pendapatan baru.

Di antara objektif kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan potensi dan prospek tanaman pokok engkaras (gaharu) dan penghasilan gaharu dan juga mempelajari kaedah penanaman, pemprosesan dan penggredan gaharu secara teori dan amali di lapangan.

Kursus ini diadakan selama tiga hari bermula pada 19 Disember sehingga 21 Disember 2013 di Hotel Seri Malaysia, Lawas dan latihan amali diadakan di Ladang Kampung Siang-siang , Jalan Trusan , Lawas, sementara penceramah pula terdiri daripada pensyarah dari Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, Prof. Madya Dr. Hawa Ze Jaafar dan pengusaha lading pokok engkaras di Semenanjung Malaysia iaitu En. Abbas Alias.

Seramai 32 orang telah terpilih untuk menghadiri kursus ini yang  terdiri dari 16 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Hutan Sarawak, yang terlibat secara langsung dalam program khidmat komuniti, sementara yang lain adalah terdiri daripada komuniti yang berasal dari Ba’kelalan dan Lawas, yang mengusahakan tanaman pokok engkaras (gaharu). (klik untuk lain-lain gambar)