Program Pembangunan Komuniti Di Ba’kelalanProgram Pembangunan Komuniti Di Ba’kelalan

PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI DI BA’KELALAN
P.17: Pembangunan Taman Negara Pulong Tau untuk Kelestarian Kepelbagaian
Biologi & Pembangunan Komuniti

 

PENGENALAN

Ba'Kelalan ialah kawasan pergunungan yang terletak di daerah Lawas. Mengikut istilah tempatan, 'Ba' bermaksud sawah padi manakala 'Kelalan' pula bererti sebatang sungai. Kedudukan Ba’Kelalan yang berada 3,000 kaki (910m) tinggi dari aras laut dan mempunyai suhu persekitaran di bawah 21°C menyebabkan Ba’Kelalan popular dengan penanaman epal dan anggur. Ba’Kelalan boleh dikunjungi dengan menaiki penerbangan ataupun menggunakan pacuan empat roda selama 4 hingga 5 jam dari Lawas. Terdapat beberapa lokasi menarik berdekatan Ba'kelalan seperti BarioTaman Negara Pulong Tau, Gunung Murud dan Bukit Batu Lawi

Terdapat sembilan (9) buah perkampungan di sini iaitu perkampungan Buduk Nur, Buduk Bui, Buduk Aru, Long Langai, Long Lemumut, Long Ritan, Long Rusu, Pa Tawing, dan Long Rangat yang dihuni oleh komuniti Lun Bawang. Aktiviti utama komuniti di Ba’Kelalan adalah bersawah padi, menternak kerbau dan memproses garam bukit.

Unit Inisiatif Khidmat Komuniti (CSIU), Jabatan Hutan Sarawak telah melaksanakan pelbagai Program Pembangunan Komuniti di Ba’Kelalan. Program Pembangunan Komuniti ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga kini. Antara projek dan aktiviti yang dilaksanakan adalah:

  i.       Penanaman pokok karas (gaharu)
ii.        Denai Hutan Semulajadi SK Ba’Kelalan, Long Langai, Ba’Kelalan

iii.       Kemudahan asas di Taman Botani Asang Langai, Long Langai, Ba’Kelalan
  
iv.        Rumah Pemprosesan Garam Bukit dan Kemudahan Asas di Kampung Buduk
            Bui, Ba’Kelalan


i.        PENANAMAN POKOK KARAS (GAHARU)

Projek penanaman gaharu bersama komuniti di Ba’Kelalan telah bermula pada bulan Ogos tahun 2012. Seramai  20 yang terlibat dalam aktiviti ini. Sehingga penghujung tahun 2014, 6300 anak pokok gaharu telah ditanam di Ba’Kelalan. Aktiviti-aktiviti pemantauan dilaksanakan sepanjang tahun oleh kakitangan jabatan dari Pejabat Hutan Daerah Sarikei dan Lawas, Pejabat Hutan Bahagian Limbang serta Pejabat Hutan Wilayah Miri.

Objektif:

  1. Merupakan satu pendekatan yang diambil dalam usaha untuk melaksanakan aktiviti penghutanan semula (reforestration) dan pemuliharaan kawasan yang mengalami degradasi;
  2. Menggalakkan penglibatan komuniti dalam penanaman pokok hutan dan seterusnya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara hutan dan pendidikan alam sekitar;
  3. Membantu dalam meningkatkan pendapatan komuniti melalui hasil jualan gaharu pada masa akan datang.

(Klick untuk gambar Projek penanaman gaharu)


ii.      DENAI HUTAN SEMULAJADI SK BA’KELALAN, LONG LANGAI, BA’KELALAN

Pembinaan Denai Hutan Semulajadi untuk pelajar sekolah SK Ba’Kelalan yang terletak di Kampung Long Langai, Ba Kelalan, Lawas merupakan satu insiatif yang diambil oleh CSIU untuk Program Kesedaran dan Pendidikan Alam Sekitar. Projek Denai Hutan ini adalah hasil kerjasama padu di antara pihak jabatan, sekolah dan juga pemilik tanah, En. Mathius Padan yang memberi keizinan untuk menggunakan kawasan tanah beliau untuk pelaksanaan projek tersebut. Pembinaan telah dimulakan pada Mac 2013 dan telah siap sepenuhnya pada Disember 2013.

Denai Hutan Semulajadi ini telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti titian-titian belian dan jambatan, tangga, pondok rehat yang menempatkan poster-poster mengeni hutan dan alam sekitar untuk Program Kesedaran dan Pendidikan Alam Sekitar, menara peninjau burung yang dilengkapi dengan poster pelbagai spesis burung di Ba’Kelalan serta herba dan pokok ubat-ubatan yang dilabel dengan informasi mengenai kegunaan dari sudut perubatan.

Objektif:

  1. Meningkatkan kesedaran dan pendidikan alam sekitar di kalangan pelajar sekolah, guru-guru dan komuniti setempat;
  2. Menyediakan kemudahan asas di dalam denai hutan semulajadi untuk memudahkan proses pembelajaran dan pendidikan;
  3. Menyediakan satu proses pembelajaran berterusan kepada pelajar-pelajar sekolah dan komuniti setempat.

(Klick untuk gambar Pembinaan Denai Hutan Semulajadi)


ii.     KEMUDAHAN ASAS DI TAMAN BOTANI ASANG LANGAI, LONG LANGAI, BA’KELALAN

Projek pembinaan kemudahan di Taman Botani Asang Langai bermula sekitar Mei 2013 dan siap sepenuhnya pada Februari 2014. Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti 10 unit tapak perkhemahan, jambatan gantung, kolam ikan, empangan mini, dapur, tandas dan bilik mandi serta meja dan kerusi kayu.

Objektif:

  1. Menyediakan kemudahan untuk pelajar-pelajar sekolah dan komuniti untuk melaksanakan aktiviti berasaskan kesedaran dan pendidikan alam sekitar;
  2. Meningkatkan pendapatan komuniti melalui aktiviti yang dilaksanakan di Taman Botani;
  3. Menggalakkan aktiviti eko-pelancongan.

(Klick untuk gambar Projek pembinaan kemudahan di Taman Botani Asang Langai)

 

iii.     PEMBINAAN RUMAH PEMPROSESAN GARAM BUKIT DAN KEMUDAHAN DI KAMPUNG BUDUK BUI, BA’KELALAN

Garam bukit yang dikenali sebagai Tuchu dalam bahasa Lun Bawang mempunyai lebih daripada 70 jenis mineral seperti kaslium magnesium, zink dan sebagainya. Penghasilan garam bukit merupakan aktiviti sampingan yang dilakukan oleh komuniti Lun Bawang di Ba’Kelalan untuk menjana pendapatan. Aktiviti utama komuniti ini adalah menanam padi dan menternak kerbau. Pada masa dahulu, komuniti Ba’kelalan bergantung kepada mata air garam yang terdapat di kaki bukit atau gunung sebagai sumber garam. Mereka menggunakan kaedah tradisional untuk menyalurkan air garam daripada mata air garam menghasilkan garam.

CSIU telah menjalankan lawatan tapak dan kerja-kerja tinjauan ke Kpg. Buduk Bui dan telah mengenalpasti kelemahan dalam proses penghasilan garam gunung ini dan pihak jabatan bersedia membantu komuniti terlibat untuk menambahbaik kemudahan bagi memudahkan proses penghasilan garam gunung sekaligus untuk penghasilan garam yang lebih efisien.

Pembinaan rumah pemprosesan garam dan menambahbaik fasiliti di Kpg. Buduk Bui Ba’Kelalan bermula Jun 2014 sehingga kini. Pada peringkat awal, kerja-kerja penambaikan ini melibatkan pemasangan sistem perpaipan untuk penyaluran mata air garam dari telaga ke tangki simpanan serta penyediaan tangki untuk menyimpan stok air garam. Ini merupakan projek yang terpilih untuk mewakili jabatan ke pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Pada bulan Januari 2015, kerja-kerja pembinaan rumah pemprosesan garam yang baru dan kemudahan telah mula dijalankan. Pembinaan rumah pemprosesan garam ini melibatkan beberapa komponen yang terdiri daripada:

a) 4 unit blok yang terdiri daripada:

 i.        Satu unit  bilik tidur, dapur, ruang rehat dan bilik pembungkusan;
ii.        Satu unit tungku pembakaran dan 2 dapur;
iii.        Satu unit tandas tandas dan bilik mandi;
iv.        Satu unit pondok /stor kayu api

b) Titian papan (plankwalk) sepanjang 250-300m dari jalan besar menuju ke rumah pemprosesan garam.

Objektif:

  1. Menambahbaik serta menyediakan rumah pemprosesan garam serta kemudahan bagi memudahkan komuniti untuk menghasilkan garam bukit;
  2. Meningkatkan penghasilan garam gunung secara efisien dan pendapatan sampingan komuniti dari hasil jualan garam;
  3. Meningkatkan aktiviti eko-pelancongan di kawasan tersebut.

 (Klick untuk gambar Pembinaan Rumah Pemprosesan Garam Bukit)


iv.   MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PEMBANGUNAN KOMUNITI DI BAKELALAN

Majlis Perasmian projek pembangunan komuniti di Ba’Kelalan telah diadakan pada Sabtu, 11 Oktober 2014 bertempat di SK Ba’Kelalan, Ba’Kelalan Lawas oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak.

Majlis ini melibatkan perasmian di tiga tapak projek iaitu:

  • Majlis Perasmian Denai Hutan Semulajadi SK Ba’kelalan, Long Langai, Ba’Kelalan;
  • Majlis Pecah Tanah Rumah Pemprosesan Garam, Buduk Bui, Ba’Kelalan; dan
  • Majlis Perasmian Taman Botani Asang Langai, Long Langai, Ba’ Kelalan.

Tetamu VIP jemputan lain yang turut hadir di majlis perasmian ini ialah YB Datu Haji Len Taliff Salleh Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda Promosi Pendidikan Teknikal dan YB Datuk Hendry Sum Agong, Ahli Parlimen Lawas dan YB Datuk Haji Mohd Naroden bin Haji Majais, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) dan Menteri Muda Perancangan Sumber.

Majlis perasmian ini melibatkan upacara menandatangani sijil penyerahan pengurusan dan penyelenggaraan denai hutan kepada pihak SK Ba’Kelalalan oleh wakil Pengarah Hutan, En. Simon Sandi kepada Pengetua sekolah yang disaksikan oleh YB Datuk Amar Hj. Awang Tengah Ali Hassan. YB Datuk Amar juga melaksanakan upacara penyerahan 50 anak pokok karas (gaharu) kepada 20 orang komuniti Ba’Kelalan. Tetamu-tetamu VIP dan jemputan yang lain turut dibawa untuk melawat ke setiap tapak projek.

(Klick untuk gambar Majlis Perasmian projek pembangunan komuniti di Ba’Kelalan)