Sistem Tagang Sungai Sugai, Rantau Tapang, Ulu Mujok Julau Sistem Tagang Sungai Sugai, Rantau Tapang, Ulu Mujok Julau

Sistem Tagang Sungai Sugai, Rantau Tapang, Ulu Mujok Julau Sarikei
Di bawah Program Pembangunan B.35: Pembangunan Taman Hidupan Liar Lanjak Entimau Untuk Kelestarian Kepelbagaian Biologi & Pembangunan Komuniti (ITTO / TBCA)

 

PENGENALAN

Pelaksanaan Sistem Tagang di Sungai Sugai telah bermula pada 1 Oktober 2013. Kawasan Sungai Sugai yang terangkum dalam Sistem Tagang ini adalah sepanjang 7 km dan melibatkan komuniti dari rumah panjang Rh. Anthony Bau yang mempunyai 19 pintu. Pelaksanaan Sistem Tagang ini adalah hasil kerjasama di antara Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Pertanian dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Program ini bermula dengan sesi dialog bersama komuniti Rh. Anthony Bau yang telah diadakan pada 1 Oktober 2013 melalui pembentangan oleh pegawai dari Jabatan Pertanian bagi memberi maklumat dan sedikit sebanyak pengetahuan mengenai Sistem Tagang. Ini diikuti oleh kerja-kerja tinjauan dan pengecaman ikan serta hidupan sungai yang lain telah dijalankan pada 2 Oktober 2013. Kerja-kerja ini telah berjaya dilaksanakan hasil dari kerjasama dan sokongan dari komunti rumah panjang Rh. Anthony Bau, kakitangan dari Jabatan Pertanian dan juga JHS.

Hasil daripada kerja-kerja tinjauan dan pengecaman ikan yang dijalankan di sekitar Sungai Sugai, pemasangan papan tanda zon untuk Sistem Tagang iaitu Zon Merah, Zon Kuning dan Zon Hijau telah dilakukan pada 3 Oktober 2013.

Satu majlis penubuhan AJK Sistem Tagang Sungai Sugai juga telah diadakan oleh komuniti Rumah Panjang Anthony Bau bagi melantik ahli jawatankuasa untuk pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sistem tagang.

Pembinaan jeti di Rh. Anthony Bau telah dilaksanakan bagi menaiktaraf kemudahan di Sistem Tagang. Kerja-kerja pembinaan jeti ini dilakukan secara bergotong-royong oleh pegawai serta kakitangan jabatan bersama komuniti Rh. Anthony Bau pada 9 Julai dan siap sepenuhnya pada 16 Julai 2014.

 

OBJEKTIF

i.        Meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti dalam aktiviti pengurusan dan pemeliharaan sumber hutan terutama sekali ikan dan hidupan sungai yang lain;

ii.        Meningkatkan pendapatan komuniti melalui jualan ikan dan hidupan sungai;

iii.        Memastikan komuniti mendapat bekalan/sumber protein secara berterusan;

iv.        Membuka peluang kepada aktiviti sampingan yang diwujudkan seperti Program Homestay dan sebagainya yang boleh menggalakkan aktiviti eko-pelancongan.

 

PERASMIAN

Sistem Tagang Sungai Sugai telah dirasmikan pada 8 September 2014 bertempat di Rh. Anthony Bau yang dirasmikan oleh YB Datu Haji Len Talif Salleh, Menteri Muda Alam Sekitar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal). Sebanyak 20,000 anak ikan tengadak sumbangan daripada Jabatan Pertanian telah dilepaskan ke sungai. Selain itu sebanyak 20 anak pokok karas telah diserahkan kepada komuniti dari setiap pintu dan dan 200 anak pokok lagi untuk seluruh komuniti rumah panjang tersebut. Penanaman pokok karas juga telah dilakukan oleh VIP jemputan di Stesen Renjer Ng. Ju.

Klick untuk gambar Sistem Tagang Sungai Sugai_Pelaksaaan
Klick untuk gambar Sistem Tagang Sungai Sugai_Pembinaan Jeti
Klick untuk gambar Sistem Tagang Sungai Sugai_Perasmian 01
Klick untuk gambar Sistem Tagang Sungai Sugai_Perasmian 02