PENGENALANPENGENALAN

PERSATUAN KEBAJIKAN ISLAM JABATAN PERHUTANAN SARAWAK (PERKIJAP)

(No.Pendaftaran 17/91)


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala pujian serta syukur dipanjatkan kepada Allah SWT di atas segala nikmat dan berkat yang dianugerahkan. Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad SAW yang diutuskan sebagai rahmat buat seluruh alam.

Saudara-saudari warga Jabatan Hutan Sarawak,

Semoga saudara-saudari sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah swt. Untuk makluman semua, Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Perhutanan Sarawak atau lebih dikenali sebagai PERKIJAP Sarawak, telah didaftarkan penubuhannya dalam tahun 1991.

Selaras dengan peruntukan Undang-undang dan Perlembagaan PERKIJAP, asas penubuhannya tidak lain daripada menanam semangat perpaduan dan muhibbah dalam kalangan kakitangan Islam dan kakitangan lain di Jabatan Hutan Sarawak. Melalui asas ini, PERKIJAP berperanan menjalankan fungsi utama dalam penganjuran aktiviti kebajikan Jabatan berbentuk seminar, ceramah, kursus dan aktiviti-aktiviti lain bagi meningkatkan pengajaran, kefahaman dan amalan Islam dikalangan ahli serta anggota keluarga mereka.

Sehubungan itu pada tahun 2019, beberapa aktiviti telah dijalankan seperti Program Satu Juzuk Satu Keluarga, Program Sekampit Beras yang telah mencatatkan sumbangan sebanyak 200 kampit beras untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Kampit beras telah diagihkan kepada PIBG SMK Tun Abang Haji Openg, PIBG SMK Bandar Samariang dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak. Selain itu, PERKIJAP telah menganjurkan Program Gotong-Royong Bubur Lambuk sempena Ramadhan 1440H yang diadakan pada setiap hari jumaat pada bulan Ramadhan dan juga program Penyerahan 350 Anak Benih Pokok Gaharu kepada Masjid Darul Naim, Asajaya Sarawak.

Baru-baru ini, Program Gotong Royong Ibadah Korban sempena perayaan Hari Raya Aidiladha 1440H telah diadakan pada 12.8.2019 untuk menyemai sikap kerja berpasukan serta merapatkan silaturahim dikalangan kakitangan Jabatan Hutan Sarawak. Sebanyak empat ekor sapi dan seekor kambing telah dikorbankan semasa program tersebut. Untuk makluman semua, PERKIJAP akan menganjurkan Program Musabaqah Al-Quran pada bulan Oktober 2019 untuk menggalakkan ahli keluarga warga Jabatan Hutan Sarawak untuk sama-sama menyertai program sekaligus merapatkan silaturahim dikalangan warga Jabatan.

Kejayaan penganjuran setiap aktiviti hanya dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama, penglibatan dan sumbangan warga Jabatan serta keprihatinan individu yang telah memberi keceriaan kepada semua ahli demi memastikan kesinambungan PERKIJAP. InsyaALLAH segala usaha yang telah digembleng, mudah-mudahan diberkati Yang Maha Esa seterusnya memberi manfaat kepada para ahli serta semua warga Jabatan.

Keahlian PERKIJAP terbuka kepada semua warga Jabatan dengan yuran permulaan keahlian sebanyak RM62 (iaitu RM2 untuk bayaran masuk, dibayar sekali semasa mendaftar dan RM60 untuk yuran tahunan). Mereka yang berminat untuk menjadi ahli boleh berhubung dan mendapatkan Borang Permohonan menjadi ahli daripada Setiausaha Perkijap Sesi 2019/2020.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua warga Jabatan Hutan Sarawak dan tidak lupa kepada kesemua muslimin muslimat yang telah memberi sumbangan, komitmen serta menabur bakti untuk sama-sama kita majukan Perkijap. Akhir kata saya akhiri ucapan saya dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh.

 

Haji Happysupina Sait

Pengerusi PERKIJAP Sesi 2019/2020

Ibupejabat Jabatan Hutan
Tingkat 9, Wisma Sumber Alam
Jalan Stadium, Petra Jaya
93660 Kuching; atau
Tel: 082-319103 Fax: 082-441240

E-mel: happysus@sarawak.gov.my