KUCHING, 6 Oktober 2025 - Sempena sambutan Hari Geodiversiti Antarabangsa 2025 bertemakan “One Earth, Many Stories”, Sarawak Delta Aspiring UNESCO Global Geopark telah menganjurkan Geoforum: Borneo’s Cradle of Origin di Hotel Raia Kuching hari ini.
Program ini dirasmikan oleh Pengarah Hutan Sarawak merangkap Pengurus Sarawak Delta Geopark, YBhg. Datu Haji Hamden bin Haji Mohammad, yang menekankan kepentingan geodiversiti sebagai asas kepada kehidupan manusia, perancangan pembangunan mampan, serta pengurusan sumber semula jadi.
“Setiap landskap, batuan dan fosil menyimpan kisahnya yang tersendiri. Ia adalah buku sejarah berusia lebih 4 bilion tahun yang memberi panduan kepada kita untuk memahami perubahan iklim, menjaga kelestarian alam, dan merancang masa depan secara mampan,” jelas beliau.
Tahun 2025 menjadi detik bersejarah apabila Sarawak Delta Geopark buat pertama kalinya meraikan Hari Geodiversiti Antarabangsa sebagai geopark kebangsaan yang telah mendapat status Green Card (ACCEPTED) daripada UNESCO Global Geoparks Council di Chile pada September lalu. Status ini menandakan Sarawak Delta Geopark selangkah lagi ke arah pengiktirafan rasmi sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) pada Mei 2026.
Datu Haji Hamden turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, komuniti tempatan, institusi pendidikan, rakan geopark, serta tokoh penasihat yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan penilaian oleh pakar UNESCO pada Jun 2025.
Selain geoforum, beberapa program lain turut diadakan sepanjang bulan Oktober, antaranya:
● Jelajah Geologi bersama Sekolah Geopark (8 & 25 Oktober 2025)
● Gotong-Royong membersihkan Tapak Warisan Geologi Syis Tuang, Semeba (18 Oktober 2025)
● Program Penanaman Pokok bersama Komuniti Kampung Sadir, Padawan (19 Oktober 2025)
Mengakhiri ucapan, beliau menegaskan bahawa pengiktirafan geopark ini bukanlah penamat, sebaliknya permulaan kepada usaha berterusan untuk memberi kesan positif kepada sosioekonomi rakyat Sarawak, selaras dengan aspirasi Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang menekankan kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan penyertaan menyeluruh.