MAJLIS PERASMIAN EKSPO HASIL HUTAN BUKAN KAYU (NTFP) ZON SELATAN
Posted on 01 Aug 2026
Source of News: Jabatan Hutan Sarawak
KUCHING, 1 Ogos 2026 – Jabatan Hutan Sarawak telah berjaya menganjurkan Majlis Perasmian Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu (Non-Timber Forest Products, NTFP) Zon Selatan pada 2.30pm hari ini di Plaza Merdeka, Kuching.
Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Datu Haji Hamden bin Haji Mohammad, Pengarah Hutan Sarawak, yang menzahirkan komitmen berterusan Jabatan Hutan Sarawak dalam memperkasakan pembangunan hasil hutan bukan kayu sebagai salah satu pemacu ekonomi hijau dan pembangunan komuniti luar bandar.
Ekspo yang berlangsung dari 31 Julai hingga 9 Ogos 2026 ini menghimpunkan 80 penyertaan komuniti dan agensi, termasuk penyertaan daripada SaraCarbon Sdn. Bhd. serta Dinas Lingkungan Hidup dan Kehutanan Provinsi Kalimantan Barat, Republik Indonesia, sekali gus memperkukuh hubungan kerjasama rentas sempadan dalam pembangunan dan pemasaran produk hasil hutan bukan kayu.
Penganjuran ekspo ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkukuh kemampanan sumber asli, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta merancakkan ekonomi luar bandar melalui penghasilan produk bernilai tambah berasaskan sumber hutan.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Hutan Sarawak dalam melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Mampan (Sustainable Forest Management) yang mengimbangi aspek pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi komuniti.
Melalui pembangunan rantaian nilai hasil hutan bukan kayu, komuniti tempatan bukan sahaja memperoleh peluang menjana pendapatan yang lebih mampan, malah turut memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan Sarawak.
Jabatan Hutan Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, rakan strategik, agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti yang telah menjayakan penganjuran Ekspo Hasil Hutan Bukan Kayu Zon Selatan 2026. Semoga usaha bersepadu ini terus memperkukuh pembangunan ekonomi berasaskan hutan secara lestari demi manfaat generasi kini dan akan datang.
“Support local hands, sustain natural lands.”