PROGRAM JELAJAH PENGARAH HUTAN SARAWAK 2026 SINGGAH DI PEJABAT HUTAN WILAYAH SARIKEI

Posted on 10 Aug 2026
Source of News: Jabatan Hutan Sarawak
SARIKEI, 6 Ogos 2026 – Program Jelajah Pengarah Hutan Sarawak 2026 diteruskan hari ini di Pejabat Hutan Wilayah Sarikei oleh Pengarah Hutan Sarawak, YBhg. Datu Haji Hamden bin Haji Mohammad, bersama beberapa orang Ketua Bahagian dan Ketua Unit dari Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak. Turut hadir ialah Pegawai Hutan Wilayah Sibu dan Kapit.
Program ini merupakan inisiatif jabatan bagi memperkukuh hubungan antara pihak pengurusan tertinggi dengan warga kerja di peringkat wilayah, di samping meninjau pelaksanaan operasi serta penyampaian perkhidmatan jabatan di lapangan.
Sepanjang program, YBhg. Datu Haji Hamden telah mengadakan lawatan ke Pejabat Hutan Wilayah Sarikei sebelum menghadiri sesi perjumpaan bersama kakitangan bagi menyampaikan amanat, berkongsi hala tuju strategik jabatan serta bertukar pandangan mengenai usaha memperkasakan pengurusan hutan secara mampan. Program ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama, memupuk semangat kerja berpasukan dan meningkatkan komitmen warga jabatan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Pada sebelah petang, YBhg. Datu Haji Hamden turut mengadakan lawatan kerja ke Nurseri Sungai Nyelong, Sarikei bagi meninjau kemudahan serta perkembangan pengurusan nurseri yang menjadi antara komponen penting dalam menyokong usaha pemuliharaan, pemulihan dan pembangunan sumber hutan Sarawak.
Program Jelajah Pengarah Hutan Sarawak 2026 mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Hutan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan pengurusan sumber hutan Sarawak terus dilaksanakan secara lestari demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.


Copyright © 2020 Forest Department Sarawak


Last Updated On 10 Aug 2026

Operating Hours
Monday-Thursday
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm

Friday
8:00am to 11:45am & 2:15pm to 5:00pm

 

image Polls
image Announcement