MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2025, PENGHARGAAN PESARA 2026 DAN PELANCARAN ePASS JABATAN HUTAN SARAWAK
Posted on 17 Sep 2026
Source of News: Jabatan Hutan Sarawak
KUCHING, 15 September 2026 – Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah mengadakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 dan Penghargaan Pesara Tahun 2026 bertempat di Sheraton Hotel, Kuching sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada warga Jabatan atas kecemerlangan, komitmen serta sumbangan mereka dalam perkhidmatan.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.
Bersempena dengan majlis tersebut, YB Datuk Amar turut menyempurnakan pelancaran Electronic Removal Pass (ePASS), satu inisiatif pendigitalan JHS yang mentransformasikan proses Removal Pass berasaskan kertas kepada sistem digital yang lebih cekap dan boleh dijejaki. Diintegrasikan dengan Sarawak Logs Tracking and Forest Revenue System (REVLOG), ePASS akan dilaksanakan secara berfasa dengan pelaksanaan sepenuhnya di seluruh Sarawak disasarkan menjelang Jun 2027, sekali gus memperkukuh kebolehkesanan kayu balak, kecekapan operasi, pematuhan dan penguatkuasaan.
Pada majlis tersebut, seramai 93 orang warga JHS menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berdasarkan penilaian tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, komitmen dan prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Pada masa yang sama, 53 orang pegawai JHS yang menamatkan perkhidmatan pada tahun 2026 turut diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa, bakti dan sumbangan mereka sepanjang tempoh berkhidmat bersama Jabatan.
Dalam ucapannya, YB Datuk Amar menegaskan bahawa kecemerlangan sesebuah organisasi bukan bergantung kepada individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada kekuatan sebuah pasukan yang memahami tanggungjawab masing-masing, saling melengkapi dan bekerja ke arah matlamat yang sama. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JHS yang bertugas di ibu pejabat, pejabat wilayah mahupun di lapangan atas peranan masing-masing dalam memastikan amanah mengurus dan memelihara sumber hutan Sarawak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau turut menekankan bahawa pengurusan hutan pada masa kini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan sahaja daripada aspek pengeluaran hasil kayu, tetapi turut merangkumi pemuliharaan biodiversiti, penyimpanan karbon, kawasan tadahan air, sumber ekonomi masyarakat serta peranan hutan dalam menghadapi kesan perubahan iklim. Pendekatan ini selaras dengan penekanan Kerajaan Sarawak terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar demi memastikan sumber semula jadi negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Turut hadir ialah YB Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak; YBhg. Datu Haji Abdullah bin Julaihi, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar; YBhg. Datu Jack anak Liam, Controller, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB); dan YBhg. Datu Haji Zainal Abidin bin Haji Abdullah, Pengurus Besar, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), serta wakil-wakil agensi, para penerima APC, pesara dan warga kerja Jabatan Hutan Sarawak.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai kecemerlangan dan jasa warga JHS, malah mencerminkan komitmen Jabatan untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui budaya kerja yang progresif, profesional dan berintegriti serta pemanfaatan teknologi dalam pengurusan sumber hutan Sarawak.
Tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pesara atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak.