MAJLIS PERASMIAN JAMBATAN GANTUNG LONG BELUYU, LAWAS
Posted on 29 Sep 2026
Source of News: Jabatan Hutan Sarawak
LAWAS, 29 September 2026 – Majlis Perasmian Jambatan Gantung Long Beluyu, Lawas telah berlangsung hari ini sebagai salah satu inisiatif pembangunan kemudahan asas bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.
Majlis telah dirasmikan oleh Tuan Suliman bin Jamahari, Ketua Bahagian Perhutanan Sosial, Jabatan Hutan Sarawak, yang turut menyampaikan ucapan mewakili Pengarah Hutan Sarawak.
Turut hadir ialah Puan Siti Rohana binti Tuah, Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Lawas; Puan Judy George Wan dari Unit Korporat & Permodenan Perkhidmatan; Hajah Salina binti Hamdi, Ketua Bahagian Pembangunan Projek; Encik Phillcaine anak Pilla, Pegawai Hutan Wilayah Limbang; Encik Padan Balang, Ketua Kaum Long Beluyu; serta penduduk Long Beluyu.
Projek jambatan gantung tersebut dibiayai melalui Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH). Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 12 September 2025 dan berjaya disiapkan pada 12 Disember 2025.
Pelaksanaan projek ini turut melibatkan kerjasama dan semangat gotong-royong bersama komuniti Long Beluyu. Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu menjayakan pelaksanaan projek, malah memperkukuh semangat kerjasama, rasa pemilikan serta penglibatan komuniti dalam pembangunan kawasan mereka.
Jambatan gantung ini menyediakan laluan perhubungan yang lebih mudah, selamat dan selesa kepada penduduk setempat dalam menjalankan aktiviti harian. Kemudahan tersebut turut memberi manfaat dari aspek pendidikan, kegiatan ekonomi, urusan sosial dan pergerakan harian, di samping meningkatkan hubungan komuniti dengan kawasan sekitar.
Penyediaan kemudahan asas seperti ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diberi perhatian dan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh masyarakat di peringkat akar umbi.
Pelaksanaan projek ini juga selaras dengan aspirasi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan inklusif, peningkatan kualiti hidup rakyat serta pembangunan luar bandar yang lebih seimbang dan mampan.
Pada masa yang sama, penglibatan Jabatan Hutan Sarawak dalam pembangunan komuniti mencerminkan pendekatan Pengurusan Hutan Secara Lestari (Sustainable Forest Management – SFM) yang turut mengambil kira aspek kesejahteraan masyarakat dan pembangunan sosioekonomi komuniti yang bergantung kepada sumber serta kawasan hutan.
Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek Jambatan Gantung Long Beluyu, khususnya komuniti Long Beluyu serta semua agensi dan pihak berkepentingan yang telah memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang pelaksanaan projek.